KEBERKESANAN KURIKULUM BARU BERGANTUNG KEUPAYAAN GURU - TPM

Rabu April 14, 2010, Kosmo Online.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keberkesanan kurikulum baru sekolah akan banyak bergantung kepada keupayaan guru meningkatkan amalan pendidikan dalam kelas.

Beliau berkata strategi pengajaran dan pembelajaran perlu menggunakan pendekatan proses penyelidikan secara membina, pembelajaran mengikut konteks, penguasaan pembelajaran yang menggabungkan pelbagai teknik fokus kepada pelajar.
"Ini termasuk uji kaji, perbincangan rakan sebaya, rangsangan, lawatan lapangan dan aktiviti menyelesai masalah yang membolehkan aplikasi sumber di dalam dan di luar bilik darjah.
"Saya berharap dengan pelaksanaan kurikulum baru ini, para guru kita akan menjadi lebih inovatif dalam cara mengajar dan menggunakan pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif dan memupuk potensi inovasi pelajar," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2010 di Pusat Konvensyen Sunway Piramid di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kurikulum baru itu akan menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam proses pengajaran dan pembelajaran, membabitkan semua mata pelajaran, adalah sebahagian agenda kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua.
Beliau berkata kurikulum baru itu akan membuka ruang kepada pelajar untuk menerokai dan menggunakan kaedah baru dalam pembelajaran melalui uji kaji, reka cipta dan penyelidikan.
"Pendekatan baru ini bukan sahaja diguna pakai dalam mata pelajaran sains tetapi juga kemahiran hidup dan keusahawanan," katanya.
Muhyiddin berkata usaha untuk menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan negara tidak akan sempurna tanpa dimasukkan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah membolehkan pembelajaran interaktif, yang lebih berkesan dan merangsang minda.
Usaha untuk mendorong kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan, katanya juga memerlukan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, ahli akademik dan industri, pakar dan pengamal pendidikan untuk mengusahakan dan merangsang proses pemupukan itu dan meningkatkan potensi inovasi pelajar melalui pendidikan berkualiti.
"Pendek kata, kita perlu menjana pemikiran kreatif dan memupuk budaya inovasi dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dan kita perlu lakukan ini sebagai sebuah komuniti pendidik yang kreatif dan inovatif," katanya.
Muhyiddin berkata menyedari hakikat ekonomi baru dan pelbagai cabaran yang menanti, kerajaan perlu menilai semula model pembangunan modal insan Malaysia.
Katanya sistem pendidikan negara, daripada peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi, perlu ditumpukan untuk mengeluarkan individu berwibawa dan tenaga kerja yang kompetitif di masa depan.
"Kita perlu menyediakan persekitaran yang sesuai untuk memupuk kreativiti dan inovasi yang akan membolehkan transformasi lebih besar terhadap ekonomi dan sosial negara kita. Jika berbuat sebaliknya, kita akan merisikokan keupayaan daya saing dan kemakmuran ekonomi kita," katanya.

Oleh yang demikian, katanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, fokus kerajaan ialah menambah baik model pembangunan modal insan negara dengan menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan. - BERNAMA

BIDANG KUASA BEBAN GURU DIBINCANG

Utusan Malaysia 5 April 2010

KUALA LUMPUR 4 April - Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji beban guru di seluruh negara masih lagi di peringkat perbincangan bagi menentukan anggota dan bidang kuasanya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata, selepas perkara itu diputuskan, pihaknya akan membentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kita akan tentukan dahulu siapa anggota jawatankuasa tersebut, bidang kuasanya serta perangkaan kasar tindakan yang diambil kepada menteri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Yayasan Guru Malaysia Berhad di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan, Abdullah Mahmood.
Rabu lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.

Dalam pada itu, Alimuddin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad berkata, penubuhan koperasi tersebut membolehkan organisasi itu terus membela kebajikan 129,124 orang ahlinya.

TERIMA KASIH CIKGU



Guru-guru yang mengajar di pedalaman menaiki bot penambang ketika berbelanja di bandar dan pulang dari bercuti ke sekolah masing-masing di pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini.


GURU merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan.
Selepas negara mencapai kemerdekaan, peranan guru kekal penting seiring dengan pembangunan negara sehinggalah ke hari ini.
Pengiktirafan kepada golongan pendidik, dapat dilihat menerusi peruntukan besar untuk sektor pelajaran negara dalam bajet yang diumumkan pada setiap tahun.
Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan golongan guru seperti kenaikan gaji serta pangkat, isu mengajar di pedalaman dan yang terbaru penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji beban tugas guru yang kini di peringkat akhir.
Namun, suara warga pendidik yang tidak berpuas hati masih tetap kedengaran. Rasa tidak puas hati golongan ini dapat diketahui melalui surat yang dihantar kepada ruangan Forum Utusan Malaysia atau kenyataan yang dikeluarkan kesatuan guru.
Rungutan yang sering dibangkitkan oleh golongan guru ini pernah juga ditegur oleh pihak lain supaya bersyukur dengan jawatan dan faedah yang diberikan.
Itu antara senario profesion perguruan negara, warga pendidik sering membangkitkan masalah sementara golongan ibu bapa mahukan anak-anak mereka menerima pendidikan berkualiti di sekolah.


Pada 16 Mei ini, negara menyambut Hari Guru bagi menghargai peranan golongan ini dalam pembangunan negara.
Tema bagi sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah 'Guru Pembina Negara Bangsa.'
Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran negara.
Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.


Sejak 16 Mei 1972, Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan.
Sambutan berkenaan juga bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru merupakan satu tugas yang mulia.
''Saya mengucapkan 'Terima Kasih Cikgu' di atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan satu tugas yang berat dan mencabar.
''Jasa dan pengorbanan para guru akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat," katanya dalam perutusan Hari Guru 2010 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini.
Jelas Muhyiddin, warga pendidik tidak harus berpuas hati dengan apa yang telah dicapai tetapi perlu meningkatkan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara supaya setanding dengan negara maju dan bertaraf dunia.
''Guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan kejayaan murid. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jatidiri murid," katanya.
Tambah beliau, guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid.
''Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat.
''Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya terus dihormati dan menjadi model kepada masyarakat. Kerajaan akan terus memartabatkan profesion keguruan melalui Pelan Penambahbaikan Sekolah dan insentif di bawah Sistem Tawaran Baru kepada kepimpinan sekolah dan guru-guru," jelas Muhyiddin.


Sementara Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula menyarankan supaya, golongan pendidik melakukan muhasabah diri sempena sambutan Hari Guru yang ke-39 pada tahun ini.
''Saya berharap warga pendidik dapat melihat kembali sumbangan yang diberikan kepada negara dan mengukuhkan azam untuk meningkatkan prestasi. Semangat ini perlu dimiliki oleh para guru supaya pendidikan negara mampu menjadi lebih cemerlang dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju," katanya.
Alimuddin berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya baru-baru ini.
Jelas beliau, sumbangan para guru pada hari ini adalah sangat bermakna kepada pembangunan negara tidak kiralah di mana seseorang guru itu bertugas sama ada di sekolah-sekolah bandar mahupun di kawasan pedalaman.
''Guru diperlukan di mana-mana tidak kira di pedalaman atau luar bandar. Ini kerana pendidikan adalah untuk semua pelajar di seluruh negara.
''Walau di mana pun seorang guru itu bertugas mereka perlu memberikan khidmat pendidikan yang berkualiti dan yang terbaik kepada pelajarnya," katanya.


Semoga sambutan Hari Guru pada tahun ini mampu menyuntik semangat kepada warga pendidik untuk lebih komited dalam melahirkan modal insan cemerlang dan menyemai sifat positif kepada bakal pemimpin negara tanpa mengira tempat dan cabaran yang perlu diharungi.

BACAAN YASSIN, TAHLIL SEMPENA HARI GURU



Puad Zakashi (dua dari kiri) hadir pada Majlis bacaan Yassin dan solat hajat bagi sambutan hari guru ke-39 peringkat kebangsaan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 13 Mei - Kementerian Pelajaran malam ini buat pertama kalinya mengadakan majlis solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 Ahad ini.

Majlis yang diadakan di Masjid Negara itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.
Turut hadir 1,000 orang yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian dan guru sekitar Lembah Klang.


Majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan diikuti solat Hajat, bacaan Yasin dan tahlil. Para jemaah kemudiannya mendengar ucapan Alimuddin dan juga bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Qari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mujahidin Syahid Nasrudin sebelum menunaikan solat Isyak.


Alimuddin dalam ucapannya, melahirkan penghargaan kepada semua kakitangan kementerian yang menghadiri majlis tersebut.
Beliau juga berharap majlis terbabit dapat dijadikan sebagai acara tahunan.
Hari Guru disambut pada setiap 16 Mei dan sambutan kali ke-39 tahun ini akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang.
Ia akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Tema Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Pembina Negara Bangsa.

BUKU LAPORAN MURID 1957 TANDA KENANGAN HARI GURU

ALOR GAJAH 13 Mei – Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-39 yang disambut Ahad ini membawa makna tersendiri kepada seorang bekas guru, Sharifah Hashim. Sharifah, 75, boleh berbangga kerana salah seorang murid yang dididiknya semasa mula menjadi guru pada usia 15 tahun kini menjadi pemimpin di negeri ini.

Ketika menjadi guru kelas 1B, Sekolah Umum Bukit Rambai (kini Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai) pada 1957, salah seorang anak muridnya ialah Yaakub Md. Amin yang kini bergelar Datuk dan berjawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri.

Sharifah berkata, sebagai seorang guru tiada perkara yang lebih menggembirakan selain melihat kejayaan anak-anak didiknya.
Mengimbau kembali kenangan mengajar pada tahun negara mencapai kemerdekaan itu, Sharifah berkata, Yaakub, 60, yang mesra dengan panggilan Akub merupakan pelajar pintar di dalam kelasnya.
“Walaupun dia bertubuh paling kecil di dalam kelas, Akub seorang murid yang pintar dan sering mendapat pujian guru-guru.
“Saya menjadi guru kelasnya yang pertama ketika darjah satu dan Akub memang selalu mendapat nombor satu sehinggalah darjah lima sebelum berpindah ke sekolah lain ketika darjah enam,” katanya.

Sharifah ditemui selepas menerima kunjungan Yaakub di rumahnya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Turut menyertai lawatan itu ialah Pegawai Pelajaran Daerah Alor Gajah, Kasim Mohamad; timbalannya, Abu Bakar Awang dan Ketua Unit Perhubungan Pendaftaran Jabatan Pelajaran negeri, Zubir Mohd. Noor.

Menariknya pada kunjungan itu, Yaakub membawa bersama Buku Kenyataan Murid Sekolah Umum Bukit Rambai yang disimpannya sejak 53 tahun lalu dan mempunyai komen Sharifah yang menjadi guru kelas pertamanya.
Sambil membelek buku tersebut, Sharifah yang kali terakhir mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah sebelum pencen pada 1989, kelihatan terharu sehingga hampir menitiskan air mata kegembiraan.

“Saya tidak sangka ia masih ada dalam simpanan dan sungguh berbangga mempunyai anak didik yang berjaya dan dapat berbakti kepada masyarakat,” katanya gembira.

FESTIVAL HARI GURU 2010

KUANTAN 13 Mei – Festival Hari Guru 2010 yang berlangsung di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini bermula hari ini hingga 16 Mei nanti, dijangka menarik kedatangan lebih 10,000 pengunjung.

Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, sebanyak 200 gerai pameran membabitkan pelbagai agensi pendidikan awam dan swasta disediakan di ruang legar dan pekarangan kompleks tersebut.

Beliau berkata, ini kali kedua Kuantan menjadi tuan rumah sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan selepas menganjurkannya buat kali pertama 13 tahun lalu.
Katanya, pelbagai acara dan program diatur oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kumpulan Utusan sepanjang festival dan sambutan Hari Guru Ke-39 pada tahun ini.
“Kita juga telah mendapat komitmen tinggi daripada kerajaan negeri yang akan menyediakan jamuan makan malam negeri Selera Inderapura di Dewan Jubli Sultan Ahmad Shah pada Sabtu ini.
“Jamuan itu yang bakal mengetengahkan menu-menu tradisional Pahang dijangka dihadiri oleh 2,000 jemputan,” katanya kepada pemberita di ECM di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, pada majlis jamuan itu juga, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang merupakan tetamu kehormat akan melancarkan buku Pahit Manis Di Bumi Tok Gajah hasil karya bekas-bekas guru yang pernah berkhidmat di negeri ini.

PM TANDA TANGAN KAD UCAPAN HARI GURU




NAJIB Tun Razak menandatangani kad ucapan Hari Guru di pejabatnya di Putrajaya, semalam dengan disaksikan oleh timbalannya, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet.


PUTRAJAYA 12 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani kad ucapan sempena sambutan Hari Guru, Ahad ini, di pejabatnya di sini.
Turut menandatangani kad itu ialah timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri yang lain pada pukul 9.30 pagi sebelum mesyuarat mingguan Kabinet bermula.

Acara menandatangani kad ucapan berukuran 24x16 inci itu dibuat sebagai tanda terima kasih Perdana Menteri bersama timbalannya dan menteri-menteri Kabinet terhadap khidmat bakti guru-guru di seluruh negara.

Sebaik sahaja menandatanganinya, Najib bersama Muhyiddin serta menteri-menteri Kabinet menyampaikan ucapan ringkas "Selamat Hari Guru, cikgu!".

Kad yang ditandatangani itu akan disampaikan oleh Muhyiddin kepada wakil guru ketika sambutan Hari Guru Ke-39 pada Ahad ini yang akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang. - BERNAMA

 
© 2009 - BERITA | Free Blogger Template designed by Zafri smktokai

Laman Utama | Organisasi|Berita| Galeri/download